Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar pada Majlis Kenduri Rakyat Desa Madani KKDW Tahun 2025 di Lenggong, Perak hari ini.

LENGGONG – Kampung Bukit Sapi, Lenggong, Perak dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) bagi memperkasakan usaha pembangunan sosioekonomi, infrastruktur asas dan peningkatan kualiti hidup penduduk setempat.

Melalui peruntukan RM1 juta yang telah disediakan bagi KAM, pelbagai komponen pembangunan telah dilaksanakan, kata Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar.

Antaranya, penambahbaikan infrastruktur kampung seperti menaik taraf sekolah agama, titi sungai, klinik desa, jalan ladang, masjid, surau, dewan orang ramai, pemasangan lampu jalan solar dan infrastruktur dan projek bukan fizikal seperti gotong-royong keceriaan kampung, latihan kemahiran dan modal insan.

“Inisiatif ini diyakini akan dapat meningkatkan kesejahteraan kampung sekali gus memacu pembangunan dan kemajuan komuniti secara menyeluruh. Besarlah juga hasrat saya, dengan terlaksananya usaha-usaha yang telah saya sebutkan tadi, ia akan dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Kenduri Rakyat Desa Madani KKDW Tahun 2025 di sini hari ini.

KKDW telah menganjurkan Majlis Kenduri Rakyat Desa MADANI 2025 sebagai acara penutup pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Kampung Bukit Sapi, Lenggong, Perak yang telah dilaksanakan bermula Januari 2025.

Menurut Muhd Khair Razman, Majlis Kenduri Rakyat Desa MADANI KKDW 2025 merupakan satu wadah mengukuhkan hubungan kekeluargaan, perpaduan dan menyemarakkan lagi budaya gotong-royong yang telah sekian lama menjadi identiti di kalangan masyarakat luar bandar di Malaysia dan diadakan sempena kejayaan pelaksanaan keseluruhan projek KAM dan SAM bagi tahun 2025 yang telah disiapkan sepenuhnya mengikut jadual.

Kampung Bukit Sapi telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan KAM dengan peruntukan berjumlah RM1 juta, manakala Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi dipilih bagi pelaksanaan SAM dengan peruntukan RM100,000, melibatkan keseluruhan 13 projek terdiri daripada 10 projek fizikal termasuk naik taraf sekolah agama, titi sungai, klinik desa, jalan ladang, masjid, surau, dewan orang ramai, pemasangan lampu jalan solar dan infrastruktur sekolah dan tiga projek bukan fizikal merangkumi gotong-royong keceriaan kampung, pelaksanaan Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile dan Program Motivasi Pelajar.

Menurut Muhd Khair Razman, di bawah konsep Sekolah Angkat MADANI (SAM), kerjasama erat antara agensi, sekolah dan komuniti telah diperkukuh untuk memastikan pendidikan anak-anak kampung terus diberi perhatian. Dana berjumlah RM100,000 telah diperuntukan di bawah inisiatif yang sama.

“Tumpuan diberikan kepada penambahbaikan kemudahan asas sekolah, termasuk pembinaan astaka baharu yang dijangka menjadi pemangkin inspirasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

Selain itu, program motivasi yang dijalankan berperanan sebagai platform untuk memupuk semangat dan motivasi pelajar bagi mencapai kecemerlangan.

“Tumpuan ke atas usaha ini adalah berteraskan kepada kepercayaan pendidikan adalah asas kemajuan masa depan anak-anak desa. Saya sangat berharap dengan pelaksanaan inisiatif SAM ini, ia merupakan pelaburan jangka panjang untuk menghasilkan generasi yang lebih berdaya saing,” katanya.

Satu lagi projek yang amat membanggakannya Adalah Program Rintis Lampu Solar KKDW.

“Apa yang menarik, projek ini bukan sekadar memasang lampu tetapi juga memupuk kerjasama antara komuniti dan kepakaran akademik UniMAP, di mana penduduk kampung turut aktif dalam pemasangan dan penyelenggaraan.

“Saya dimaklumkan sehingga kini, sebanyak 30 unit lampu solar telah berjaya dipasang dengan implikasi kos berjumlah RM40,073. Projek ini juga membuktikan bahawa apabila kita semua menggembleng tenaga, tiada apa yang mustahil untuk kesejahteraan bersama,” katanya lagi.

Satu lagi inisiatif yang amat bermakna di bawah Program Kampung Angkat Madani adalah Program Selenggara Elektrik Rumah Impian atau SERI.

Program itu dilaksanakan khusus untuk membantu golongan B40 bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan keselesaan elektrik di rumah mereka, tetapi juga memberi peluang kepada para pelatih TVET GIATMARA untuk mengaplikasikan kemahiran sebenar yang telah mereka pelajari di lapangan.

Sehingga kini, sebanyak 25 buah rumah telah mendapat manfaat, dengan kos keseluruhan RM40,000.

Beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam menjayakan Program Kampung Angkat Madani di Kampung Bukit Sapi seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lenggong, Perak; GIATMARA Perak; Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS); Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak; Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan seterusnya kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Sapi serta semua penduduk kampung yang telah memberi sokongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast