KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang jurukimpal kontrak selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan wang anggota kumpulan Daesh, 10 tahun lalu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Zairul Mahmud, 40, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zairul didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta seorang pengganas dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM10,000 dan pengeluaran sebanyak RM6,000 daripada akaun bank milik tertuduh untuk manfaat pengganas terbabit.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, di antara 25 Februari 2015 dan 8 Mei 2015.
Mohd. Zairul didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda dan boleh dirampas apa-apa harta yang dikendalikan itu.
Berdasarkan fakta kes, bertindak atas satu laporan polis, sepasukan anggota polis dari Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di sebuah premis di Masai, Johor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pembiayaan keganasan.
Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh telah mengendalikan harta pengganas melalui beberapa transaksi daripada akaun banknya dalam tempoh tersebut melalui perkhidmatan ejen pengiriman wang kepada seorang lelaki yang terlibat dengan kumpulan Daesh.
Terdahulu, Mohd Zairul yang tidak diwakili peguam, meluahkan kekesalannya serta merayu hukuman ringan dengan alasan isterinya tidak bekerja dan dia perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama. – MalaysiaGazette
















