Temubual Eksulusif SkopMG bersama Penganalisi Politik, Prof. Dr. Azmi Hassan di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet kerajaan MADANI yang dilakukan baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai persepsi.

Antaranya pertukaran portfolio Hannah Yeoh daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Menteri Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri menggantikanDr Zaliha Mustafa yang digugurkan.

Pertukaran ini didakwa menimbulkan kerisauan khususnya buat masyarakat Melayu yang tinggal di bandar-bandar.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berpendapat, kerisauan dan ketakutan itu tidak wajar dan menyifatkan semua perkara yang difikirkan tidak akan berlaku.

“Saya ada dengar juga ramai yang bimbang kononnya apabila DAP diberikan portfolio yang visible (ketara) seperti kementerian yang melibatkan urusan bandar dan pembangunan, masyarakat Melayu bandar akan merasa terancam atau rasa dipinggirkan.

“Tetapi pada pandangan saya, naratif itu sukar untuk melekat kali ini.

“Sebabnya satu sahaja, kerana perdana menteri adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita kena akui, Anwar ini seorang pemimpin yang sangat cekap dalam mengawal optics (persepsi visual) dan naratif politik.

“Beliau tahu bagaimana mahu mengimbangi tuntutan DAP dengan keperluan untuk memastikan orang Melayu, terutamanya di kawasan bandar, merasa selamat,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk ‘Rombakan Kabinet: Game Changer Atau Biasa-biasa’, Dr Azmi berpendapat, Anwar tidak membiarkan menteri-menteri DAP bergerak sendirian tanpa kawalan.

“Beliau sentiasa meletakkan check and balance (semak dan imbang) melalui dasar-dasar yang dipantau terus dari Pejabat Perdana Menteri atau kementerian-kementerian strategik yang dipegang oleh orang Melayu.

“Sebab itu, walaupun pembangkang cuba mainkan isu ‘Melayu terancam’ di bandar, ia tidak berapa menjadi.

“Orang Melayu bandar ini lebih pragmatik. Selagi mereka nampak Anwar berdiri teguh di depan, selagi mereka nampak Perdana Menteri masih memegang mandat utama dalam soal dasar dan kewangan, mereka rasa kedudukan mereka terpelihara,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, kecekapan Anwar dalam berkomunikasi dan menyentuh sentimen Melayu secara halus merupakan benteng kuat untuknya.

“Anwar memberikan DAP ruang untuk bekerja di kawasan bandar, tetapi pada masa yang sama beliau memastikan tunjang kuasa itu tetap nampak sangat Melayu-Islam di mata rakyat.

“Inilah seni politik Anwar yang menyebabkan ancaman itu tidak dirasai sehebat mana yang cuba digambarkan oleh pihak lawan,” tambahnya.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk pembangkang melahirkan keraguan apabila ditafsirkan Hannah akan bekerjasama dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk ‘merealisasikan’ beberapa perkara termasuk mempercepat pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dilihat akan membuatkan masyarakat Melayu semakin terpinggir dari bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast