KUANTAN – Pengalaman setiap tahun mendepani Monsun Timur Laut di negeri ini menjadikan Pahang sentiasa bersedia dan membuat persiapan awal bencana itu.
Ia memastikan 11 daerah ini tidak kalut menghadapi fenomena banjir sekali gus berpengalaman menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, kerjasama dari pada agensi berkaitan termasuk rakyat terjejas banjir menjadi tonggak amalan pengurusan banjir yang sistematik di Pahang.
“Kita pun memang ada pengalaman sebab Monsun Timur Laut boleh dikatakan setiap tahun melanda Pahang, cuma ada ketikanya pada skala kecil dan ada juga skala besar.
“Untuk gelombang pertama dan kedua, kita berjaya menguruskan dengan cemerlang… tapi masih ada empat atau lima lagi (gelombang) selepas ini.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat negeri juga selalu mengadakan pertemuan dan mesyuarat. Semalam pun, jam 10 malam saya mempengerusikan mesyuarat pengurusan bencana negeri.
“Jadi, kita akan terus tambah baik lagi apa yang sudah kita lakukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat penduduk terjejas banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Naib Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang, Mohd Kamil Ibrahim dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Mustaqim Zakaria.
Wan Rosdy juga menasihati penduduk di kawasan berisiko banjir untuk terus peka dengan perkembangan cuaca dan pengumuman daripada pihak berkuasa.
Mereka dinasihat untuk segera berpindah oleh pihak berkuasa jika diarahksn berpindah bagi menjamin keselamatan dan mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette
















