Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Polis melakar kejayaan besar apabila menumpaskan satu sindiket dadah berskala antarabangsa yang beroperasi di Lembah Klang, susulan pembongkaran beberapa lokasi yang dijadikan makmal haram memproses dadah bernilai lebih RM1.5 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bersepadu hasil risikan itu dijalankan pada 16 Disember lalu membabitkan beberapa serbuan serentak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut beliau, enam individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan pengedaran serta pemprosesan dadah berkenaan.

“Serbuan pertama di kawasan Cheras, Kuala Lumpur membawa kepada penahanan kesemua suspek dan rampasan enam botol cecair disyaki mengandungi dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat tiga kilogram,” katanya dalam sidang media hari ini.

Hussein berkata, serbuan kedua di Tayton, Cheras pula menemukan serbuk putih disyaki dadah jenis kokain seberat 738 kilogram, cecair disyaki kokain seberat 3,303 kilogram serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Katanya, serbuan ketiga di sebuah premis perindustrian di Sungai Chua, Kajang, Selangor berjaya merampas serbuk putih disyaki ketamin seberat 3,024 kilogram dan cecair disyaki ketamin seberat 10,067 kilogram, selain peralatan pemprosesan.

“Serbuan keempat di Taman Industri Mega, Bandar Teknologi Kajang membawa kepada rampasan 1,402 kilogram ketamin yang disimpan dalam 1,400 bungkusan plastik berwarna kuning bersama peralatan memproses dadah,” dedah beliau.

Sambungnya, secara keseluruhan JSJN merampas dadah disyaki MDMA seberat tiga kilogram, kokain 4,041 kilogram dan ketamin 14,493 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.53 bilion.

Jelas beliau, jumlah dadah berkenaan dianggarkan mampu merosakkan seramai 68.5 juta penagih.

Manakala siasatan awal mendapati sindiket terbabit aktif sejak April lalu dan menjadikan Malaysia sebagai hab pemprosesan untuk pasaran luar negara.

“Hasil siasatan mendapati suspek utama bertindak sebagai ketua penjaga stor dan pembantu ahli kimia, dibantu beberapa individu kepercayaan yang menguruskan kediaman serta premis perniagaan yang dijadikan makmal dan stor dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, selain siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sitaan bernilai RM389,000.

Hussein menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada JSJN menerusi talian 012-208 7222. -MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast