KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu melanggar garis panduan keselamatan, termasuk memaparkan bahan berunsur politik semasa konsert pelakon terkenal India, Vijay yang juga merupakan pengasas parti politik Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) pada 27 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, konsert berkenaan mesti kekal sebagai acara hiburan semata-mata dan tidak dibenarkan dijadikan platform untuk sebarang mesej atau aktiviti politik.
Katanya, larangan itu merangkumi sebarang bentuk ucapan, simbol, bahan, pergerakan, konvoi serta siaran langsung yang membawa mesej politik, sama ada di dalam atau di sekitar lokasi acara.
“Semua penonton dan pihak terlibat diwajibkan mematuhi garis panduan keselamatan serta menjaga ketenteraman awam sepanjang konsert berlangsung. Sebarang unsur politik tidak dibenarkan sama sekali,” katanya kepada media hari ini.
Dalam pada itu, sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan penganjur konsert terbabit, Malik Streams Corporation yang menjangkakan kehadiran hampir 90,000 di Stadium Bukit Jalil telah mengeluarkan peringatan rasmi agar semua hadirin mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Abdul Malik Dashtigeer, menegaskan Konsert Thalapathy Thiruvizha dianjurkan sepenuhnya sebagai acara hiburan dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agenda politik.
Difahamkan, perhatian terhadap konsert berkenaan turut meningkat memandangkan Vijay dijadual menghadiri pelancaran audio filem terakhir lakonannya, Jana Nayagan sebelum acara tersebut diteruskan dengan konsert pada tarikh sama.
Vijay yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat kini aktif dalam arena politik selepas menubuhkan TVK awal tahun ini, sekaligus meletakkan beliau sebagai figura awam yang berada di bawah perhatian peminat hiburan dan pemerhati politik.
Sebelum ini, beberapa laporan media India turut melaporkan insiden rempuhan orang ramai semasa satu perhimpunan melibatkan penyokong Vijay di Karur, Tamil Nadu, yang mengorbankan 41 orang serta mencederakan lebih 100 individu.
Ini menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan kawalan orang ramai dalam acara berskala besar melibatkan aktor popular berkenaan. -MalaysiaGazette
Konsert Thalapathy Thiruvizha tiada unsur politik walaupun libatkan Vijay – Malik
















