Poster pelancaran audio muzik filem terakhir Vijay, Jana Nayagam akan di adakan di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Penganjur Konsert Thalapathy Thiruvizha menegaskan acara berkenaan dianjurkan sebagai program hiburan dan tidak mempunyai sebarang agenda politik.

Ini kerana pelakon terkenal India, Vijay yang lebih mesra dikenali sebagai Thalapathy itu sendiri akan menghadiri pelancaran audio filem terakhir beliau, Jana Nayagan sebelum diikuti konsert Thalapathy Thiruvizha pada 27 Disember ini.

Vijay yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat kini aktif dalam arena politik selepas menubuhkan parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) awal tahun ini.

Vijay merupakan pengasas dan presiden parti tersebut yang kini meletakkan beliau sebagai figura awam yang berada di bawah perhatian bukan sahaja peminat hiburan malah pemerhati politik.

Sebelum ini, beberapa laporan media India melaporkan insiden rempuhan orang ramai (crowd rushing) semasa satu perhimpunan melibatkan penyokong Vijay di Karur, Tamil Nadu mengorbankan seramai 41 orang dan mencederakan lebih 100 individu.

Dalam pada itu, Malik Streams Corporation selaku penganjur acara berkata, semua penonton dan pihak terlibat diwajibkan mematuhi garis panduan keselamatan serta menjaga ketenteraman awam sepanjang konsert berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Malik Dashtigeer berkata, sebarang bentuk ucapan, simbol, bahan, pergerakan atau siaran langsung berunsur politik adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Konsert ini dianjurkan semata-mata sebagai acara hiburan. Kami tidak akan membenarkan sebarang aktiviti atau elemen yang berunsur politik kerana keutamaan kami adalah keselamatan, keharmonian dan kelancaran acara,” katanya.

Abdul Malik bersama pelakon terkenal Vijay baru-baru ini.

Abdul Malik berkata pihak penganjur berhak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan penonton dan kelancaran konsert. Semua pihak diminta memberikan kerjasama penuh,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar hadir dan menikmati konsert tersebut sebagai acara hiburan semata-mata, selain mematuhi semua arahan keselamatan dan kawalan yang dikeluarkan oleh penganjur serta pihak berkuasa berkaitan.

Difahamkan, konsert Thalapathy Thiruvizha dijangka menarik kehadiran hampir 90,000 peminat, dengan lebih 60,000 tiket telah terjual setakat ini sekaligus menjadikannya antara konsert paling besar yang pernah dianjurkan di negara ini.

Konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dijangka memberi impak besar dari segi pengurusan keselamatan, kawalan orang ramai serta pergerakan trafik di sekitar lokasi acara.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast