KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,546 tiket bagi laluan JB Sentral – KL Sentral untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2025 telah habis terjual sejak operasi pertamanya pada 12 Disember lalu.
Ketua Pegawai Teknikal (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, sebanyak 75 peratus tiket ETS telah dijual daripada 292,716 tiket yang ditawarkan bagi tempoh 19 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
Untuk perkhidmatan KTM Intercity yang melibatkan Ekspres Rakyat Timuran, Shuttle Timuran dan Ekspres Selatan, sebanyak 94,332 tiket ditawarkan dengan kadar jualan sekitar 34 peratus.
Menurutnya, secara keseluruhan, jumlah tiket yang ditawarkan bagi perkhidmatan ETS dan KTM Intercity dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak 387,048 tiket.
“KTMB kekal komited untuk memperkukuh pengalaman perjalanan rel yang selesa, selamat dan boleh dipercayai, selari dengan aspirasi syarikat dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan serta berorientasikan keperluan pelanggan,” katanya.
Sempena musim perayaan dan cuti persekolahan, KTMB menasihatkan para penumpang supaya tiba 30 minit lebih awal di stesen bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan urusan pemeriksaan dan pergerakan di pintu masuk berjalan lancar.
Semalam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengedarkan 500 pek kepada para penumpang perkhidmatan tren elektrik
(ETS) di Stesen KL Sentral dan 200 pek kepada penumpang KTM Komuter di Stesen Butterworth bersempena sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2026 yang bakal disambut tidak lama lagi.
Edaran pek istimewa ini merupakan tanda penghargaan KTMB atas sokongan berterusan pelanggan terhadap perkhidmatan ETS dan KTM Komuter, khususnya sepanjang tempoh cuti persekolahan dan musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah perjalanan.- MalaysiaGazette















