KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mengumumkan pelantikan lima tokoh usahawan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) baharu.
Pelantikan itu bertujuan memberi nafas baru tenaga muda sebagai pelapis pimpinan dewan pada masa hadapan, kata Presiden DPIM, Datuk Mohammad Sahar Mat Din.

Lima individu tersenarai adalah Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn Bhd, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah, 38, yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMK BV Sdn Bhd serta merupakan penerima anugerah Tokoh Usahawan Muallaf Kebangsaan 2023 daripada JAKIM.
Kedua adalah Pengarah Urusan Bubbles O2 Group of Companies, Ain Azizah Arifin, 27, yang telah berjaya meletakkan produknya sebagai jenama air mineral oksigen semula jadi tunggal negara yang meraih pengiktirafan BrandLaureate Entrepreneur of the Year 2024 dan Superbrands Malaysia 2025.
Seterusnya, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Ehsan Renal Care Sdn Bhd, Dr. Hazimi Hamzah, 41, yang juga Certified Medical Impairment Assessor (CMIA) dan telah membawa syarikatnya meraih pengiktirafan SME Top 100 Fast Moving Companies serta #1 ASEAN Award 2023 oleh Indonesian Award Magazine.
Turut memperkukuh barisan adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIC Group of Companies dan pemilik Abedeen Academy, Ali Haidar Azizi, 28, yang telah memacu pemodenan operasi rangkaian prasekolah CIC yang kini berkembang luas kepada hampir 100 cawangan di seluruh negara.
Melengkapkan barisan AMT baru ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group Sdn Bhd, Adam Richman, 34, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group Sdn Bhd.
Beliau merupakan pakar strategi perniagaan bertauliah dari Harvard Business School di Boston dan Profesor Adjunct di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Pelantikan berkuat kuasa serta-merta dan diharapkan dapat memacu DPIM ke arah pencapaian ekonomi ummah yang lebih kompetitif dan mampan bagi penggal akan datang, kata Mohammad Sahar. – MalaysiaGazette
















