Sebahagian daripada 12 lukisan yang dianggarkan bernilai AS$30 juta.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses membawa pulang aset-aset bernilai tinggi yang berkaitan dengan usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut sumber, SPRM ketika ini sedang menilai keperluan logistik serta kos yang terlibat bagi membawa pulang aset-aset tersebut.

“Aset yang berada di bawah jagaan Sotheby’s kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran, manakala aset yang berada di bawah jagaan Christie’s hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di Amerika Syarikat, khususnya melalui kerjasama dengan USDOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat).

“Kos membawa pulang aset-aset ini adalah tinggi kerana ia memerlukan ruang penyimpanan khas, pemeriksaan berkala, rawatan konservasi serta penyelenggaraan berterusan selain memerlukan koordinasi yang rapi dengan agensi penguatkuasaan asing,” katanya.

Pemulangan aset-aset ini telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB serta hasil perbincangan dua hala antara SPRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan DOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.

Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo dipegang Christie’s dan Sotheby’s Auction House AS, antaranya Pablo Picasso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró (1953), Composition; William H. Bailey (b. 1930), Still Life; Alexander Calder (1898–1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869–1954), Femme Assise yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memberitahu, SPRM masih meneruskan pengesanan dan siasatan ke atas pelbagai kategori aset, termasuk hartanah, aset kewangan dan aset bernilai tinggi melibatkan jurisdiction berbeza.

Yang terbaharu, katanya, siasatan turut melibatkan individu (Casey Tang) yang dikaitkan dengan kesalahan 1MDB yang memiliki kediaman mewah di luar negara serta penyelewengan melibatkan firma guaman luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast