Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka, Mohd Asyraf Zainal

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka mencabar semua menteri dan timbalan menteri daripada parti itu meletakkan jawatan sekiranya benar-benar ‘marah’ dengan penghinaan DAP terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Mohd Asyraf Zainal berkata, langkah itu perlu dilakukan terlebih dahulu jika pimpinan UMNO benar-benar memperjuangkan keadilan buat bekas perdana menteri itu.

“Secara peribadi, jika benar UMNO marah, perkara pertama yang perlu dibuat adalah semua yang memegang jawatan baik menteri dan timbalan perlu letak jawatan segera,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bersama pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum, hari ini.

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.

Kemudian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam hantarannya ringkas di akaun Facebook miliknya berbunyi, ‘jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.