Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Jasnizam Husni

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap menyelar sekerasnya tindakan Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin yang memuat naik kenyataan bernada sinis dan tidak sensitif dengan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Jasnizam Husni berkata, kenyataan berbentuk ejekan jelas menunjukkan sikap angkuh, tidak berperikemanusiaan dan gagal menghormati prinsip keadilan serta sensitiviti masyarakat Malaysia.

“Isu berkaitan proses undang-undang tidak sepatutnya dijadikan bahan perayaan politik, apatah lagi apabila melibatkan seorang bekas perdana menteri yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Sebagai seorang wakil rakyat, Bee Yin seharusnya menunjukkan kematangan, empati dan tanggungjawab moral dalam setiap kenyataan awam.

“Ia bukan sahaja mencerminkan keperibadian cetek, bahkan memperlihatkan sikap DAP yang terus bermain politik kebencian serta dendam terhadap pihak lawan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bersama pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum, hari ini.

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.

Jasnizam juga berkata, kenyataan sebegini turut menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus diperlakukan, seolah-olah tiada maruah dan hanya diperlukan apabila menguntungkan pihak tertentu, tetapi dihina secara terbuka oleh pemimpin parti rakan sendiri.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Padang Terap berpandangan bahawa BN perlu menilai semula kedudukan dan peranannya dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya sikap angkuh, penghinaan terbuka dan kegagalan menjaga sensitiviti ini berterusan, BN tidak seharusnya terus kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan yang tidak menghormati semangat setiakawan dan prinsip keadilan.

“BN mesti berani membuat keputusan tegas demi menjaga maruah parti serta amanah penyokong di akar umbi.

“Lebih baik BN berdiri dengan prinsip dan suara rakyat, daripada terus bersama dalam kerajaan yang membiarkan budaya mengejek, memperlekeh dan memecah-belahkan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast