Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dibenar melanjutkan tempoh sekatan terhadap PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya, Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melanjutkan tempoh sekatan terhadap kedua-duanya.

Dana itu merupakan wang yang dituntut oleh kerajaan yang didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB dan kini disimpan dalam akaun pelanggan Clyde & Co LLP di United Kingdom bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) (PSOS-VZ).

PSOS-VZ ialah anak syarikat PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL). PSOSL ialah unit PSI, diasaskan bersama oleh Tarek.

Hakim Noor Ruwena Mohd. Nurdin melanjutkan tempoh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat melalui notis yang difailkan pada 5 Disember lalu.

“Saya mengambil kira bantahan pihak responden (Tarek) kerana perkara ini telah berlanjutan lama, namun, saya juga mengambil kira kepentingan awam.

“Mahkamah memberikan tempoh lanjutan masa selama tiga bulan dari tarikh perintah dibenarkan pada hari ini,” kata hakim itu yang memberikan tempoh lanjutan masa hingga 23 Mac 2026.

Pada 11 Disember 2024, Mahkamah Tinggi telah membenarkan perintah sekatan itu namun ia telah berakhir pada 10 Disember lalu.

Dalam prosiding hari ini, Mahadi dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip dan Nurul Izzati Sapifee manakala Tarek diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Alex Tan mewakili PSI, PSOS-VZ, dan Temple Fiduciary Services Ltd manakala Clyde & Co tidak diwakili.

Pada 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan mendapatkan perintah interim bagi menghalang pihak-pihak daripada memindahkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun pihak ketiga berkecuali yang dipegang oleh firma itu.

Perintah interim itu adalah untuk mengekalkan status quo pihak-pihak sehingga pelupusan permohonan larangan kerajaan untuk mendapatkan perintah bagi menghalang sebarang urusan ke atas wang milik PSI dan PSOS-VZ.

Kerajaan Malaysia mendakwa wang berkenaan datang daripada dana 1MDB dalam usaha sama dengan PSI untuk menubuhkan 1MDB PetroSaudi Ltd pada 2010.

Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada Ogos 2024, media antarabangsa melaporkan bahawa Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mensabitkan Obaid dengan kesalahan berhubung penyelewengan US$1.8 bilion daripada 1MDB dan dia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast