Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

ROMPIN – Tindakan 12 lelaki orang asli menceroboh ladang milik sebuah syarikat swasta membawa padah apabila ditahan polis dalam satu operasi di Kampung Tanam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, tangkapan dibuat selepas laporan diterima daripada Syarikat Agri Tech Sdn. Bhd. berhubung pencerobohan tanah di kawasan ladang berkeluasan 101.9 hektar.

“Laporan dibuat pada 23 Disember 2025 oleh seorang lelaki berusia 44 tahun yang memaklumkan sekumpulan lelaki orang asli dipercayai berkumpul dan berada di dalam kawasan ladang berkenaan tanpa kebenaran pemilik sah.

“Bertindak atas maklumat itu, polis telah menahan 12 lelaki berusia antara 20 hingga 44 tahun di kawasan ladang terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh harta, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tambah Sharif, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuantan melalui satu perintah bertarikh 15 Oktober 2025 telah mengarahkan pihak Orang Asli Kampung Tanam mengosongkan tanah berkenaan dan menyerahkan milikan kepada Syarikat Agri Tech Sdn. Bhd.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki, membersihkan kawasan, menanam tanaman atau membina sebarang binaan di atas tanah yang bukan milikan sah tanpa kebenaran pemilik berdaftar.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti pencerobohan tanah yang mempunyai pemilikan sah sama ada milik individu atau syarikat,” tegasnya.

“Mana-mana pihak perlu memastikan mempunyai geran pemilikan yang sah sebelum mengusahakan sesuatu tanah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast