KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim memberi amaran kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua yang cukup gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengingatkan Pua supaya jangan ingat dia terlalu bagus kerana bukan DAP yang menjatuhkan Najib.
Menurut Zaid, beliau dan penyokong-penyokong Najib bukan ‘pencinta penjenayah’ seperti yang didakwa Pua.
Sebaliknya, kata Zaid, beliau dan penyokong Najib cuma mahukan keadilan yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berbeza terhadap Najib.
Pada masa sama, katanya, beliau juga bimbang dengan DAP yang mempertahankan kerajaan ini tanpa soal, sedangkan kerajaan berulang kali berbohong mengenai isu pengampunan, walaupun pengampunan diraja telah pun diperkenankan.
“DAP mungkin berbangga dengan kerajaan yang menipu ini, tetapi kami tidak.
“Anda mungkin tidak bersetuju bahawa pengampunan diraja tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, tetapi kami percaya itulah undang-undang sejak Merdeka.
“Namun, apabila Datuk Seri Anwar menerima pengampunan diraja yang sama, anda menerimanya tanpa mempersoalkan bahawa ia tidak tertakluk kepada semakan,” hujah Zaid lagi.
Tambah beliau, DAP sebenarnya bernasib baik mempunyai UMNO sebagai rakan ketika parti itu berada pada tahap paling lemah.
Tetapi, Zaid memberi amaran bahawa Tony jangan terlalu angkuh.
Ia kerana, tiada parti politik yang boleh berharap untuk mentadbir negara ini untuk tempoh yang lama jika tidak menghormati sejarah, tradisi dan perasaan sebahagian besar rakyat, ujar beliau. – MalaysiaGazette















