KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, meluangkan masa menziarah seorang peminat setia dikenali Fadzil Sitizoner yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital.
Berita itu dikongsi pemilik akaun, Rara Nurhaliza di TikTok miliknya yang memaparkan foto Siti bersama pengurus peribadi, Rozi Abdul Razak menziarah lelaki itu.
Berdasarkan kapsyen, pemilik akaun berkenaan turut memohon kepada sesiapa sahaja yang mengenali Fadzil agar bersama-sama mendoakan kesembuhan kesihatannya kerana masih dalam pemantauan doktor.
“Mohon semua doakan Fadzil Sitizoner. Buat masa sekarang, Fadzil berada di ICU dan memerlukan pemantauan rapi oleh pihak hospital.
“Kita Sitizoner sebagai keluarga sangat mengharapkan doa daripada semua agar Fadzil diberikan kekuatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Sayang Sitizoners semua,” tulisnya pada Rabu.
Bagaimanapun, tidak dimaklumkan secara spesifik sakit yang dialami lelaki tersebut.
Sementara itu, Siti ketika sidang media konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sebak dan bersyukur berpeluang melawat antara peminat setianya itu.
“Saya bersyukur kerana berpeluang menemuinya walaupun dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Dengan keizinan suami, saya berharap kehadiran saya dapat memberikan sedikit semangat, walaupun mungkin hanya sedikit yang dapat didengar.
“Saya sedar ramai peminat turut banyak berkorban demi saya. Kehadiran saya hanyalah untuk memberi sokongan dan semangat. Rakan-rakan peminat lain daripada Sitizoners juga turut hadir,” ujarnya.
Bagi Siti, Fadzil bukan sekadar peminat, sebaliknya antara individu yang sentiasa setia menyokong perjalanan seninya sejak sekian lama.
“Fadzil antara peminat yang sangat setia. Kesetiaan mereka ini bukan sekadar fanatik, malah setia dan baik hati dan sentiasa menyokong saya dalam apa jua keadaan.
“Dia antara peminat yang ke mana sahaja saya pergi, wajah Fadzil pasti akan saya nampak,” tambahnya.-MalaysiaGazette















