GEORGE TOWN – Seorang lelaki dipercayai terjatuh dari Jambatan Kedua Pulau Pinang semalam, ditemui mati lemas berhampiran Pulau Rimau dekat sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.20 malam tadi di Kilometer 18.4 jambatan berkenaan dari arah Batu Maung menghala ke Batu Kawan.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru bersama bantuan BBP Bagan Jermal digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba, pihak polis memaklumkan seorang lelaki berusia 52 tahun dipercayai terjatuh dari jambatan ke laut.
“Mangsa juga dikatakan meninggalkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bersama dokumen pengenalan diri di lokasi.
“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan sepanjang malam dan disambung pagi ini dengan penyelarasan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), melibatkan pelbagai agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah John Sagun, pencarian dilakukan menggunakan kaedah pencarian permukaan air dengan kawasan operasi dibahagikan kepada lima sektor merangkumi semua agensi terlibat.
“Hasil pencarian membawa kepada penemuan mangsa pada jam 12.05 tengah hari tadi dalam keadaan terapung berhampiran Pulau Rimau iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin bagi proses pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut” katanya. – MalaysiaGazette















