PUTRAJAYA – Orang ramai tiba di pekarangan Istana Kehakiman di sini pagi ini bagi mengikuti perkembangan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mereka yang rata-rata berkumpul seawal pukul 7 pagi, tidak sabar untuk mengetahui keputusan sama ada Najib dibebas atau disabitkan dengan empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Sementara itu, kenderaan jenis Proton X70 berwarna kelabu membawa bekas Perdana Menteri tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya diiringi beberapa kenderaan lain kira-kira pukul 8.25 pagi.
Terdahulu, anak sulung beliau Datuk Mohamad Nizar turut dilihat hadir di pekarangan kompleks mahkamah di sini kira-kira jam 8.20 pagi.
Keputusan dijadual diumumkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pukul 9 pagi.

Jika Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah, bekas Perdana Menteri akan dibebaskan daripada pertuduhan.
Namun, jika hakim tidak memihak kepada Najib, beliau akan didapati bersalah dan dikenakan hukuman. Bagaimanapun, beliau mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Rayuan dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding itu, Najib diwakili pasukan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu Datuk Tania Scivetti, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman.
Pasukan pendakwaan pada asalnya diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum meninggal dunia pada Januari 2023.
Selepas itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Natasha Chin Le Jy, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud. – MalaysiaGazette
















