PUTRAJAYA – Pendakwaan menggambarkan perbuatan Datuk Seri Najib Razak menyalah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai antara `kes jenayah kewangan terburuk yang pernah dibayangkan’ berlaku di negara ini.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib menyifatkan, perbuatan itu sebagai jenayah `kleptokrasi pada tahap terburuk’ dan `pengkhianatan mutlak terhadap amanah’ yang diberikan.
Hujah beliau, ini kerana Najib ketika itu berjawatan perdana menteri, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
Ahmad Akram selanjutnya menekankan kesan buruk terhadap kewangan negara, dengan jumlah liabiliti 1MDB kini hampir RM50 bilion, yang kerajaan telah membayar kira-kira RM42 bilion dan baki hutang sekitar RM13 bilion.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kedudukan yang dihadapi Najib.
Pasukan pendakwaan turut memohon hukuman penjara bagi setiap pertuduhan berkuat kuasa secara berturutan selepas bekas Perdana Menteri menyelesaikan baki hukuman tiga tahun di Penjara Kajang bagi sabitan kes SRC International.
Hujah beliau, pasukan pendakwaan turut mahukan Najib didenda berjumlah RM11.4 bilion yang dikira sebagai lima kali ganda nilai suapan dalam pertuduhan salah guna kedudukan, selain hukuman tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. – MalaysiaGazette
















