Hui Ying pada Program Sunat Perdana Liga Muslim Pulau Pinang yang berlangsung di Lebuh Queen di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Amalan berkhatan yang dilaksanakan secara selamat dan dikendalikan petugas kesihatan bertauliah mampu memberi manfaat besar dari segi kesihatan serta kebersihan kanak-kanak lelaki, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, penganjuran program berkhatan secara beramai-ramai bukan sahaja memenuhi tuntutan amalan masyarakat Islam, malah mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan sosial dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kesejahteraan komuniti.

“Usaha pihak berkaitan dalam menganjurkan program kesedaran kesihatan tanpa mengira latar belakang masyarakat wajar dipuji dan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Program seperti ini memberi manfaat daripada sudut kesihatan dan kebersihan serta dilaksanakan secara teratur oleh petugas kesihatan yang bertauliah.

Lim Hui Ying.

“Ia juga selari dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh institusi keluarga dan memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya.

Hui Ying berkata demikian selepas merasmikan Program Sunat Perdana Liga Muslim Pulau Pinang yang berlangsung di Lebuh Queen di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 40 kanak-kanak yang menyertai upacara berkhatan dibawa bersiar menggunakan beca sebelum dimandikan dengan semburan air bomba sebagai sebahagian pengisian acara.

Sementara itu, Hui Ying menegaskan kanak-kanak merupakan aset paling berharga dan harapan masa depan negara, justeru menjaga kesihatan, keselamatan serta perkembangan mereka adalah amanah bersama antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti.

“KPWKM akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif perlindungan kanak-kanak, termasuk aspek keselamatan dalam talian, melalui kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

“Namun, peranan ibu bapa kekal sebagai benteng pertama di rumah, khususnya dalam menghadapi cabaran era digital yang semakin kompleks,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast