BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi perempuan, anak kepada pasangan Malaysia yang dilahirkan secara pramatang di Jepun bulan lalu memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM1.5 juta bagi menampung kos rawatan dan membawanya pulang ke tanah air.
Alexis Liang Xi Yue dilahirkan dengan berat hanya 480 gram pada usia kandungan 22 minggu dan kini ditahan di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebuah hospital di Tokyo.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu selepas keluarga dari Bukit Mertajam itu datang ke pejabatnya memohon pertolongan kerana buntu dengan situasi yang berlaku secara luar jangkaan.
Jelas beliau, bapa bayi, Liang Chee Liang, 32, memaklumkan mereka merancang percutian berbulan madu di Jepun sejak awal tahun ini dengan membuat tempahan penginapan dan penerbangan.
“Namun, sejurus tiba di Tokyo pada 9 November lepas, isterinya, Chan Luen Chiag, 29, mengalami kesakitan teruk dan pendarahan sebelum dibawa ke beberapa klinik tetapi tidak dapat meneruskan rawatan dan kembali ke hotel dan menempah penerbangan pulang ke Malaysia pada pukul 11 malam hari yang sama.
“Susulan itu, kira-kira jam 4 petang, Luen Chiag mengalami pendarahan lebih teruk sebelum bayi dilahirkan secara mengejut. Dalam panik, suaminya terpaksa memotong tali pusat sendiri sebelum membawa bayi ke hospital,” kata Sui Hau.
Menurut Sui Hau, Alexis kini menghadapi pelbagai komplikasi kritikal termasuk penyakit paru-paru kronik, perkembangan retina yang belum matang, dan pendarahan otak di bahagian ventrikel kanan, serta perlu terus berada di wad NICU sehingga tarikh jangkaan kelahiran asal pada akhir Mac tahun depan sebelum pelepasan hospital dipertimbangkan.
“Ibu bapa bayi itu terpaksa pulang dahulu ke tanah air kerana kos penginapan terlalu tinggi, manakala ibunya baru berangkat semula ke Jepun bagi memantau keadaan Alexis dan memberi susu badannya.
“Bapanya bekerja sebagai jurutera manakala ibu bayi sebagai jurudandan kuku dan mereka turut mempertimbangkan menjual satu-satunya kereta keluarga bagi menampung kos penginapan dan penerbangan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan dana ke akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (No. Akaun: 3201428817) atau melalui laman web www.onehopecharity.org. – MalaysiaGazette















