KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memanggil seorang individu disyaki terlibat isu penularan hantaran palsu di platform media sosial menggunakan logo dan identiti visual Buletin Tv3.
Individu tersebut dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak.
“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588),” kata MCMC dalam kenyataan, hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM juga disita bagi tujuan analisis forensik digital.
Semalam, Media Prima menegaskan hantaran mengenai Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkait isu TikTok yang tular di media sosial menggunakan logo dan identiti visual Buletin Tv3 adalah palsu kemudian disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Stesen televisen itu menambah, tangkap layar yang tular tersebut adalah fitnah.
Terdahulu, MCMC berkata, selain penafian stesen tv berkenaan juga membuat laporan polis mengenai hantaran berkenaan.
Sehubungan itu, suruhanjaya itu mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial.
“Penyebaran kandungan palsu dan penyalahgunaan identiti bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang,” jelasnya.-MalaysiaGazette
















