P. Ramasamy.

KUALA LUMPUR – Tindakan Pas melepaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) diibaratkan seperti membina istana pasir.

Presiden Urimai, P. Ramasamy berkata, jika pemimpin Pas beranggapan UMNO adalah alternatif yang lebih baik daripada Bersatu, maka kejahilan politik sedemikian amat menghairankan.

Sedangkan, menurut bekas pemimpin DAP itu, kerjasama Pas dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah meningkatkan sokongan rakyat kepada parti itu dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu.

Tambahnya, Bersatu mungkin mempunyai bilangan kerusi Parlimen dan negeri yang sedikit, tetapi dari segi kepimpinan, parti itu mempunyai Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Perdana Menteri, serta Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai bekas menteri.

“Dalam usaha mendapatkan sokongan bukan Melayu, Bersatu walaupun bersifat mono-etnik, menikmati hubungan yang lebih baik dengan mereka berbanding Pas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Selain itu, tambah Ramasamy, golongan bukan Melayu secara umumnya berasa waspada terhadap Pas kerana tanggapan ekstremisme terhadap parti itu.

Sehubungan itu, ujarnya, kehadiran Bersatu dan para pemimpinnya di dalam PN telah membantu meredakan label ekstremisme terhadap Pas tersebut.

“Pas mungkin benar-benar mahu meraih sokongan bukan Melayu, tetapi setakat ini, ia masih belum menemui formula politik yang sesuai.

“Dengan pemimpin Bersatu meninggalkan PN, adalah sukar bagi Pas sahaja untuk memenangi semula sokongan bukan Melayu,” katanya.

Tambahnya, meskipun ketika ini Bersatu tidak meninggalkan PN, namun peletakan jawatan pemimpin-pemimpin kanannya mewujudkan satu duluan (precedent) berbahaya tentang apa yang mungkin berlaku dalam masa terdekat.

Jelasnya, beliau berpendapat sekiranya Muhyiddin merumuskan idea sebuah gabungan pembangkang yang lebih besar dalam bentuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang melibatkan 12 presiden parti, Pas mungkin akan tidak selesa.

Disebabkan itu, ujarnya, krisis politik di Perlis sepatutnya terhad di peringkat negeri itu sahaja dan tidak dibiarkan menjejaskan PN secara keseluruhan.

“Pendekatan damai harus bermula dengan Pas mengambil peranan yang lebih berdamai dan inklusif dalam membina sebuah gabungan yang lebih berkesan untuk mencabar Kerajaan Madani yang sedang mengalami pendarahan dalaman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast