JOHOR BAHRU – Malaysia dapat mengharungi semua isu besar yang menjadi polemik rakyat dan berjaya menguruskan perbezaan pandangan secara matang sepanjang tahun lalu.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, negara melalui pelbagai episod yang menguji emosi, kesabaran dan kematangan rakyat.
“Isu-isu berprofil tinggi seperti perkembangan kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak, perbahasan perihal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta insiden bendera terbalik telah menjadi medan polemik yang menghangatkan wacana awam.
“Hakikatnya, perbezaan pandangan dalam masyarakat majmuk adalah lumrah dalam sebuah negara demokrasi. Namun, apa yang lebih penting ialah bagaimana perbezaan itu diurus dengan hikmah, beradab dan berpaksikan Perlembagaan serta Rukun Negara, bukan dengan emosi yang membuak-buak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, di sebalik riuhnya isu terbabit, Malaysia kekal stabil, institusi negara terus berfungsi, ekonomi menunjukkan pemulihan yang meyakinkan, pelaburan asing meningkat dan tahap keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia semakin kukuh.
Perkembangan itu katanya, bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil kepimpinan menekankan tatakelola yang baik, kebertanggungjawaban dan mengangkat keadilan.
Menurutnyayang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, bercakap berkenaan kestabilan memang senang tapi hakikat mencapai kestabilan bukan perkara mudah.
“Lihat saja walau dipimpin hampir seluruhnya oleh satu kumpulan, tetapi pergaduhan dan perselisihan yang tercetus langsung menjatuhkan kerajaan bukan hanya satu negeri tetapi merebak hingga satu negara. Adakah itu yang dikatakan stabil?
“Mari kita lihat pasaran buruh Malaysia menunjukkan penambahbaikan berterusan didorong oleh aktiviti ekonomi yang rancak, dengan pertumbuhan guna tenaga yang kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah,” ujarnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula katanya, melaporkan kadar pengangguran kekal 3 peratus pada Oktober lalu merekodkan seramai 518,900 penganggur dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat kepada 17.06 juta.
Selain itu katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa pelaburan asing (FI) meningkat 47.5 peratus tahun ke tahun dengan kenaikan merentasi tiga sektor iaitu perkhidmatan, pembuatan dan industri utama lantas mencerminkan asas daya saing Malaysia yang luar biasa.
Tambahnya, dalam suasana dunia yang tidak menentu, Malaysia memilih jalan sederhana iaitu tidak populis melampau dan tidak autoritarian tetapi berpaksikan nilai.
“Sempena dengan tahun 2026, marilah kita mengangkat kembali nilai Malaysia Rahmah iaitu politik yang berakhlak, kepimpinan yang bertanggungjawab dan menjadi rakyat yang matang.
“Perbezaan tidak perlu memecahkan, kritikan tidak perlu meruntuhkan dan kuasa tidak boleh disalahgunakan,” katanya.- MalaysiaGazette















