KUALA LUMPUR – Kerjasama politik Melayu antara Pas dan UMNO bukan isu siapa lebih besar tetapi siapa yang lebih ikhlas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi.
Menariknya, suara penyatuan itu tidak datang daripada generasi lama semata-mata sebaliknya digerakkan oleh pemimpin muda yang memahami denyut rakyat dan bahasa anak muda.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai ikon penyatuan ummah.
Kedua-dua pemimpin muda berkenaan berani bercakap soal perpaduan tanpa terperangkap dalam politik toksik, tegas dengan prinsip serta matang dalam pendekatan.
“Ini bukan politik lama, ini politik naik level. Anak muda tak mahu drama. Apa yang mereka mahu adalah kestabilan, peluang hidup yang adil, politik yang jujur dan pemimpin yang bercakap benar walaupun tak popular,” katanya dalam satu kenyataan.
Disebabkan itu, tambah Dr Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga Ketua Pemuda Pas Dungun, Pemuda Pas dan Pemuda UMNO tidak boleh sekadar menjadi penonton sebaliknya mesti menjadi enjin penyatuan bukan petrol perpecahan.
Ujarnya, pemuda akan mengusahakan supaya penyatuan ummah itu berlaku di lapangan, di dalam media sosial dan dalam wacana politik yang sihat.
Tegas beliau, kerjasama itu bukan untuk melindungi individua atau untuk menyelamatkan kerusi, tetapi untuk menyelamatkan masa depan.
“PRU-16 bukan soal siapa paling kuat menjerit tetapi siapa paling sanggup menahan ego. Kalau kita gagal belajar daripada sejarah, anak muda akan hukum kita di peti undi,” katanya. – MalaysiaGazette
















