Ucapan takziah daripada Zambry kepada keluarga mangsa pelajar UiTM Rembau yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Lubok Cina semalam. Gambar: FB Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abduk Kadir merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau yang meninggal dunia dalam kemalangan petang semalam.

Menerusi hantaran di laman sosialnya, beliau memaklumkan kedua-dua pelajar tersebut adalah Allayarhamah Ismawanie Husna Ismail dan Allayarhamah Nur Ain Zulaisya Zahrain.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta UiTM supaya memberikan bantuan sepenuhnya dalam menguruskan segala keperluan berkaitan kedua-dua mangsa, termasuk membantu urusan kebajikan serta memberi sokongan sewajarnya kepada ahli keluarga yang terlibat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kedua-dua pelajar ini dan berharap mereka terus diberikan ketabahan, kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Ketua Polis Daerah Rembau, Supt. Hasani Hussain memaklumkan dua pelajar terbabit yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX terbabas lalu melanggar besi penghadang di KM 1, Jalan Chengkau–Panchang–Lubok Cina.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang itu ketika kedua-dua pelajar terbabit sedang dalam perjalanan dari arah kampus menghala ke Pekan Lubok Cina.

Kedua-duanya yang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala akibat kemalangan tersebut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa, masing-masing pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina dalam keadaan cuaca baik.

“Apabila tiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya.

Sementara itu, Zambry turut mendoakan agar roh kedua-dua Almarhumah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:- 

Dua pelajar UiTM Rembau maut motosikal dinaiki terbabas

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast