KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Datuk C Sivarajh mempersoalkan ketiadaan kenyataan mewakili Malaysia berhubung insiden keganasan melibatkan pembunuhan penganut Hindu oleh kumpulan perusuh di Bangladesh.
Dalam kenyataan, beliau berkata, siri pembunuhan termasuk tikaman dan pembakaran mayat mangsa menunjukkan keruntuhan undang-undang dan ketenteraman awam di negara berkenaan.
Menurutnya, keganasan berlaku apabila proses perundangan diketepikan dan institusi gagal menghalang kemarahan kolektif daripada bertukar menjadi pembunuhan.
“Tiada sebarang alasan, tuduhan atau kemarahan bersama yang boleh menghalalkan pembunuhan seorang manusia tanpa melalui proses perbicaraan,” katanya hari ini.
Sivarajh berkata insiden berkenaan tidak boleh dilihat secara terasing kerana Bangladesh merupakan sebahagian daripada rantau yang sama dan keganasan perusuh menjejaskan keyakinan terhadap tadbir urus serta kestabilan di luar sempadan negara.
Beliau berkata, adalah munasabah untuk mempersoalkan mengapa Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut.
Jelasnya, Malaysia sebelum ini bersuara tegas dalam isu antarabangsa melibatkan penderitaan orang awam dan pencabulan maruah kemanusiaan dan prinsip tersebut tidak seharusnya bersyarat atau diamalkan secara terpilih.
Beliau menegaskan, kenyataannya bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak atau mempolitikkan tragedi sebaliknya menekankan bahawa pembunuhan tanpa perbicaraan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette















