Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Republik Bolivaria Venezuela yang disifatkan sebagai pencerobohan haram serta satu jenayah serius di bawah undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, serangan tersebut merupakan penggunaan kekerasan bersenjata secara unilateral dan tidak sah sekali gus mencabuli kedaulatan sebuah negara merdeka.

“Tindakan ini jelas melanggar Perkara 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara.

“Tiada sebarang justifikasi undang-undang yang sah sama ada di bawah hak mempertahankan diri (Perkara 51) atau mandat Majlis Keselamatan PBB yang boleh menghalalkan pencerobohan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin turut menegaskan bahawa di bawah undang-undang adat antarabangsa, penggunaan kekerasan bersenjata terhadap negara berdaulat tanpa asas sah merupakan satu jenayah pencerobohan.

Menurut beliau, serangan ke atas kawasan awam juga berpotensi melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk prinsip pembezaan, perkadaran dan keperluan ketenteraan selain mencabuli hak asasi manusia untuk hidup dan keselamatan.

Bersatu turut menegaskan, sebarang usaha memaksakan pertukaran rejim melalui kekerasan ketenteraan adalah pelanggaran jelas terhadap prinsip penentuan nasib sendiri yang merupakan norma teras undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin menggesa Kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas di Perhimpunan Agung PBB bagi menuntut pemberhentian segera pencerobohan berkenaan serta memperkukuh solidariti Negara-Negara Selatan Global melalui Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Kedaulatan negara adalah hak setiap bangsa, bukannya keistimewaan kuasa besar. Jenayah pencerobohan tidak boleh dinormalisasikan dan dunia tidak boleh menerima realiti di mana kuasa menentukan kebenaran,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores dilaporkan ditahan di New York atas pertuduhan persekutuan AS, namun Maduro menafikan semua tuduhan tersebut manakala kerajaan Venezuela menuntut pembebasan segera pasangan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast