KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik amanat tahun baharu Perdana Menteri yang memberi penekanan khusus kepada hala tuju negara, pengukuhan tadbir urus, integriti serta keperluan untuk meningkatkan gerak kerja penjawat awam dengan menjadikan kepentingan rakyat sebagai tunggak utama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh mengenai usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan akses pendidikan bagi semua murid.
“Ini termasuk dengan menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam kenyataan.
Menurut beliau, bagi tujuan penyelenggaraan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM200 juta untuk Sekolah Agama, RM80 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid pula diteruskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM800 juta.
Ia bertujuan untuk membantu meringankan beban persediaan persekolahan, katanya.
Bermula pada tahun 2025, BAP telah turut diperluaskan kepada semua pelajar Tingkatan Enam.
“KPM juga mengalu-alukan keprihatinan Perdana Menteri untuk meningkatkan bantuan kepada murid Orang Kurang Upaya (OKU) dan pendidikan khas.
“KPM beriltizam untuk terus berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara demi manfaat semua anak Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















