GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas Pendidikan Negara bagi menangani masalah buli dan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, keganasan dalam kalangan pelajar tidak lagi boleh ditangani secara biasa kerana sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menuntut ilmu kini turut terdedah kepada jenayah.
“KPM perlu memandang berat isu pelajar yang bertindak ganas dan membuli pelajar lain sehingga mendatangkan kecederaan dan kehilangan nyawa, lebih-lebih lagi apabila kejadian sedemikian berlaku dalam kawasan sekolah sendiri.
“Satu penyelesaian secara tuntas mengenai keganasan di sekolah haruslah dilakukan kerana jika setakat mengatasinya dengan menyerahkan kes kepada pihak berkuasa, ia akan menjejaskan pembangunan modal insan negara dalam masa beberapa tahun ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Yussof, keperluan langkah drastik itu dipersetujui dalam Konvensyen Pendidikan Pemenang dan Ikatan Kelab-kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan) pada 6 Disember lalu yang merumuskan dua usul utama iaitu keselamatan pelajar sekolah yang didapati tidak terjamin serta kegagalan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan pelajar.
“Suruhanjaya Khas berkenaan perlu dianggotai oleh tenaga pakar dan profesional pendidikan tempatan supaya kajian menyeluruh serta pengumpulan data terperinci dapat dilaksanakan demi masa depan negara,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Yussof turut menggesa KPM mengkaji semula pendidikan Sivik, khususnya dari segi kaedah pedagogi terbaik untuk memastikan prinsip Rukun Negara benar-benar dihayati oleh murid sekolah.
“Prinsip Rukun Negara merupakan roh kepada perpaduan kaum, namun kegagalan menyerapkannya dalam jiwa rakyat menyebabkan isu perpaduan masih rapuh sehingga kerajaan terpaksa mengawal isu berkaitan 3R.
“Jika rakyat tidak hidup secara harmoni dan terus bersikap saling syak wasangka antara kaum, perpaduan negara akan menjadi lemah dan membuka ruang kepada anasir luar yang mahu melihat Malaysia menjadi negara gagal,” katanya. – MalaysiaGazette















