Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan kesediaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneliti kerjasama dengan Pas sebagai langkah berjiwa besar demi survival orang Melayu.

Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, sayap Pemuda UMNO menyambut baik maklum balas positif daripada Ahmad Zahid terhadap usul yang dibangkitkan menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat dua perkara utama yang menunjukkan titik persamaan antara desakan akar umbi dan visi kepimpinan tertinggi parti ketika ini.

“Terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi kerana bersetuju dengan beberapa usul dari konvensyen khas Pemuda tempoh hari. Pertama, kerjasama penyatuan orang Melayu dimulakan dengan dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas.

“Kedua, menolak mana-mana cadangan untuk ‘tebuk atap’ kerajaan sedia ada,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Dr Akmal berkata, komitmen presiden itu membuka ruang untuk parti memulakan merangka strategi kerjasama yang lebih konkrit tanpa perlu mengganggu-gugat kestabilan negara.

“Insya-Allah parti boleh mulakan dengan meneliti cara bagaimana untuk bekerjasama selepas ini demi untuk penyatuan orang Melayu.

“Ini masanya,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, Dr Akmal dilihat lantang mendesak UMNO untuk menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO di WTCKL, sayap itu sebulat suara mahukan UMNO kembali menjadi jambatan penyatuan ummah menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) 2.0 tanpa melibatkan sebarang gerakan pintu belakang yang tidak demokratik.

Langkah itu dijangka akan mencetuskan dinamika baharu dalam Kerajaan Perpaduan, memandangkan UMNO kini secara terbuka mula menoleh kembali ke arah rakan tradisinya demi mengukuhkan semula sokongan orang Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast