KUALA LANGAT – Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) berjaya membangun dan menyiapkan sebanyak 15,082 projek pembangunan BP.1 skala kecil sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani dari 2023 hingga 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kira-kira 5,000 projek pembangunan dilaksanakan kerajaan di seluruh negara, setiap tahun.
“Dalam tempoh tiga tahun sahaja, JKT di bawah pimpinan Datuk Muhammad Fazli Kenali, kita berjaya telah berjaya melaksana dan menyempurnakan 15,082 projek pembangunan BP1 di seluruh negara.
“Hari ini kita datang saksikan kerja-kerja menaik taraf pusat penjaja Sungai Jarom ini. Ini adalah antara satu dari 15,000 kejayaan kita dan pencapaian itu sesuatu yang membanggakan,” katanya berucap pada Program Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 JKT di Sungai Jarom, Jenjarom, di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, angka itu dilihat meningkat setiap tahun dan jelas menunjukkan komitmen JKT dalam pelaksanaan dan pemantauan di peringkat tempatan bagi memandu usaha transformasi bandar secara inklusif, berdaya tahan dan mampan.
“Sejak Kerajaan Madani diberikan amanah dan tanggungjawab untuk mentadbir, kita telah mencapai pelbagai kejayaan demi kejayaan,” katanya.
Selain itu, katanya, KPKT Kementerian Ekonomi juga telah meluluskan 14 projek BP.1 skala besar bernilai RM10 juta dan ke atas pada 2025 di mana 10 darinya adalah projek pasar baharu.
“Sekarang pasar bukan sahaja tempat komuniti untuk membeli-belah serta penjaja dan peniaga kecil berniaga di pasar ini, bahkan di bawah kerajaan mandat ini juga kita berhasrat menjadikannya sebagai antara tarikan pelancongan,” katanya.
Menurut Kor Ming, tidak semua pembinaan pasar baharu dilakukan melalui proses tender terbuka, bahkan ia boleh dilakukan melalui proses pertandingan seni bina secara terbuka.
“Saya bagi contoh kita lakukan pilot projek pertama dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang, di mana pasar awam Bukit Mertajam telah dilanda bencana kebakaran lebih 10 tahun.
“Kerajaan dulu tak mampu bangunkan, Kerajaan Madani datang kita terus memperuntukkan RM24 juta untuk bangunkan pasar Bukit Mertajam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















