Mohd Ridhwan bergambar bersama penerima sumbangan persekolahan menerusi program Happy To School 2026.

MELAKA – Dalam situasi kos sara hidup yang semakin mencabar, World Youth Foundation (WYF) tampil membantu keluarga berpendapatan rendah (B40) melalui 1,000 sumbangan persekolahan kepada anak-anak di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya.

Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, inisiatif tahunan itu bertujuan membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak bermula minggu hadapan.

“Setiap penerima menerima baucar RM100 bagi pembelian kelengkapan sekolah dan kesemua mereka terdiri daripada keluarga B40 yang dikenal pasti melalui pemimpin masyarakat setempat.

“Sumbangan melibatkan murid dan pelajar berbilang kaum dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya,” katanya.

Mohd Ridhwan Mohd Ali

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Happy To School 2026 anjuran bersama Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) dan Malakoff Corporation Berhad di Mydin MITC, Ayer Keroh, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung WYF, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Pengerusi PENDIKA Amir Mamat.

Mengulas lanjut, Mohd Ridwan memuji program berkenaan kerana dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat beli-belah dan agensi kerajaan.

“Inilah peranan kita bersama berganding bahu membantu rakyat tanpa bergantung sepenuhnya kepada usaha kerajaan semata-mata.

“Program julung kali bersama PENDIKA ini juga sebagai penghargaan terhadap peranan media yang sentiasa membuat liputan serta memberi impak positif kepada WYF serta kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast