MELAKA – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin mengingatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menghormati sempadan masing-masing dan tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.
Menurut beliau, polemik yang tercetus kebelakangan ini di media sosial tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menimbulkan perbahasan tidak sihat yang akhirnya mengganggu keharmonian.
“Perlu diingatkan kepada semua khususnya mana-mana pemimpin parti Kerajaan Perpaduan bahawa kita haruslah bersikap matang dengan tidak perlu masuk campur atau soal menyoal urusan dalaman parti-parti lain.
“Ingatlah, setiap parti mempunyai peranan masing-masing dalam mengukuhkan perpaduan serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri itu menghormati kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam konvensyen sayap parti Sabtu lalu.
Menurutnya, program tersebut adalah urusan dalaman parti yang wajar dilihat dalam kerangka disiplin dan perjuangan UMNO namun segala hala tuju parti tetap tertakluk kepada disiplin serta keputusan pimpinan tertinggi UMNO.
“Sebagai rakan seperjuangan beliau, saya sentiasa menyokong perjuangan serta suara kebenaran yang dibawa tanpa mengenepikan disiplin dan keputusan parti.
“Ini kerana akhirnya, hala tuju UMNO tetap tertakluk kepada pimpinan tertinggi yang diterajui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu lagi, Timbalan Perdana Menteri itu juga telah menyatakan dengan jelas UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan dan tidak akan merosakkan kepercayaan rakyat melalui tindakan ‘menebuk atap’.
“Tidak perlu mencurah minyak ke atas api yang marak dan tidak perlu kita saling cabar-mencabar, apatah lagi sentiasa membangkitkan isu sensitif yang hanya mengeruhkan keadaan dan mengganggu kestabilan negara.
“Jangan kita ganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan dengan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Ahad lalu, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong membidas desakan Dr Akmal agar DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri Melaka dengan menegaskan bahawa kuasa melantik Exco Negeri terletak di tangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau secara sinis turut bertanya siapakah Akmal Saleh ketika menyampaikan ucaptama di Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25 dengan mengatakan “apabila anda (penyokong DAP) tanya sekarang, ‘Akmal kata suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan’ – saya nak tanya, lu siapa?,” katanya. – MalaysiaGazette
















