GEORGE TOWN – Status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipertikaikan, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Beliau berkata, sebarang kenyataan oleh kepimpinan Kedah yang mencadangkan cabaran undang-undang terhadap hak tanah Pulau Pinang bukan sahaja mengelirukan, malah bercanggah dengan kerangka perlembagaan negara.
Menurut Syerleena, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyenaraikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan dan pengiktirafan itu bersifat sah, mengikat serta menentukan, bukan sekadar simbolik.
“Status Pulau Pinang bukan satu kebetulan sejarah yang boleh ditafsir semula. Ia adalah fakta perlembagaan. Tiada tuntutan sejarah sebelum Merdeka boleh mengatasi kuasa Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Kedudukan Pulau Pinang turut diperkukuh melalui Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang berkuat kuasa sejak 1957, yang menetapkan negeri itu sebagai entiti yang mentadbir sendiri dalam Persekutuan dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa wilayah yang jelas,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kuasa-kuasa tersebut tidak pernah didelegasikan oleh Kedah dan tidak berpunca daripada Kedah, sebaliknya wujud secara langsung melalui undang-undang perlembagaan.
“Sangat penting untuk difahami bahawa Perlembagaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan kedaulatan Pulau Pinang ke atas tanah, tadbir urus dan pentadbirannya, tertakluk hanya kepada Perlembagaan Persekutuan seperti negeri-negeri lain.
“Perlembagaan Negeri Pulau Pinang sama sekali tidak mengiktiraf sebarang kuasa baki, pemilikan atau hak pengawasan oleh Kedah ke atas Pulau Pinang atau Seberang Perai.
“Rujukan kepada perjanjian melibatkan Syarikat Hindia Timur British dan Kesultanan Kedah adalah sebahagian daripada era penjajahan dan tidak lagi berkuat kuasa selepas penyelesaian perlembagaan negara.
“Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dan kemudiannya Malaysia, semua pengaturan terdahulu telah digantikan oleh instrumen perlembagaan. Prinsip asas undang-undang perlembagaan ialah kedaulatan berpunca daripada Perlembagaan, bukan daripada pemilikan sejarah atau hubungan berasaskan ufti,” katanya.
Mengulas lanjut beliau turut menegaskan, penyertaan Pulau Pinang dalam Persekutuan bukan berlaku secara kebetulan atau paksaan, sebaliknya sebagai entiti politik tersendiri yang diwakili dalam rundingan perlembagaan dan terikat dengan jaminan undang-undang yang sama seperti negeri lain.
Katanya, tanggapan bahawa Pulau Pinang wujud atas ihsan negeri lain bercanggah dengan realiti undang-undang serta semangat federalisme.
“Malaysia adalah sebuah persekutuan yang setara, bukan hierarki tuntutan sejarah. Jika satu negeri dibenarkan menuntut pemilikan ke atas negeri lain berdasarkan sejarah pra-perlembagaan, ia akan menggugat keseluruhan struktur persekutuan dan kepastian sistem perundangan negara.
“Pulau Pinang berdaulat dalam erti kata yang diiktiraf undang-undang Malaysia, termasuk dari segi kuasa perlembagaan, wilayah dan tadbir urus, dan kedaulatan itu dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
“Sebarang cabaran undang-undang yang mengabaikan fakta perlembagaan ini tidak mungkin bertahan di bawah penelitian undang-undang dan hanya mengalihkan perhatian daripada tanggungjawab sebenar kepimpinan untuk mentadbir serta bekerjasama demi kepentingan rakyat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan negeri Kedah yakin proses perundangan berhubung tuntutan ke atas Pulau Pinang dapat dimulakan tahun ini selepas kerja menganalisis dokumen berkaitan selesai.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pasukan perundangan sedang melihat sudut undang-undang yang sesuai sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
Sanusi menzahirkan keperluan supaya isu berkaitan pajakan Pulau Pinang diperjelas secara telus kepada semua pihak berkaitan.
Katanya, Pulau Pinang termasuk Seberang Perai adalah wilayah hak milik Kesultanan Kedah sejak zaman silam yang diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786.
“Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di tanah milik Sultan Kedah. Ini satu jenayah. Pada 12 April tahun 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah melancarkan usaha untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang namun tewas.
“Pada 7 Julai 1800, Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin terpaksa menandatangani perjanjian menyerahkan sebahagian Seberang Perai kepada British, lalu Seberang Perai diberi nama baharu, Province Wellesley,” katanya. – MalaysiaGazette















