KENYATAAN media Pas Negeri Sembilan berkenaan agenda penyatuan Melayu-Islam.

KUALA LUMPUR – Usaha ke arah penyatuan orang Melayu tidak wajar disempitkan sebagai agenda politik kepartian semata-mata.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Ismail Mahat berkata, ia adalah tanggungjawab besar demi mempertahankan maruah, kekuatan dan masa depan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu hanya menguntungkan pihak lain, melemahkan kedudukan politik, ekonomi dan sosial umat Islam.

Malah, ujarnya, perpecahan orang Melayu dan umat Islam juga membuka ruang kepada penghakisan hak-hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kita berpandangan bahawa penyatuan Melayu mestilah berpaksikan kepada Islam, berteraskan prinsip kebenaran, keadilan, integriti dan kepentingan rakyat, bukan semata-mata kerana kepentingan kuasa atau jawatan.

“Penyatuan ini haruslah bersifat matang, berakhlak dan berlandaskan musyawarah, bukannya retorik atau sentimen sementara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ismail berkata, Pas Negeri Sembilan menyeru seluruh pimpinan dan masyarakat Melayu supaya mengetepikan perbezaan yang tidak berprinsip dan mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dalam masa sama, ujarnya, kepimpinan dan orang Melayu juga perlu bersama-sama menolak politik kebencian, fitnah dan adu domba serta memperkukuhkan ukhuwah dan kerjasama atas dasar kebenaran.

Ujarnya, Pas Negeri Sembilan akan terus konsisten memperjuangkan kesatuan umat, mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, memelihara hak Melayu dan bumiputera serta memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara terus terjamin.

“Penyatuan Melayu bukan pilihan, tetapi keperluan. Bukan soal politik sempit, tetapi soal maruah dan kelangsungan bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast