Ahmad Maslan

PONTIAN – Pemilihan Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan adalah tepat berdasarkan pengaruh dan pengalamannya dalam politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, anak kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin itu bukan sebarangan calon yang dikemukakan BN kerana mempunyai jawatan dalam parti.

“Beliau merupakan Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dan selain pandai bercakap, cergas, pernah banyak kali mengikut Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar ke hulu-hilir ke seluruh Kinabatangan. Kinabatangan ini sebesar Johor dan 11 kali lebih besar dari Melaka.

“Bukan orang sebarangan yang boleh jaga Kinabatangan dan dia telah dididik oleh Allahyarham untuk warisi (kepimpinan), jadi ini pilihan yang paling tepat,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Jawa di sini hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya yakin Mohd Naim mampu menang berdasarkan kiraan undi sebelum ini yang memihak kepada Allahyarham semasa menjadi calon Parlimen Kinabatangan dalam pilihan raya umum lalu dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

Jelasnya, ini berpandukan jangkaan 3,908 undi dimenangi Allahyarham dicampur 1,646 undi diperoleh Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini yang dijangka berpindah kepada BN susulan gabungan politik Sabah itu tidak mengemukakan calon pada PRK ini.

Katanya lagi, ini termasuk 372 undi Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diperoleh dalam PRN Sabah sebelum ini dijangka juga akan berpindah sokongan kepada Mohd Naim.

“Ini adalah teori dan atas kertas kita memang boleh menang,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 14 Januari ini bakal menyaksikan pertandingan sengit apabila Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru, manakala DUN Lamag hanya membabitkan pertandingan satu lawan satu.

Mohd Naim yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Goldam Hamid sebagai calon Bebas dan Datuk Saddi Abdul Rahman mewakili Parti Warisan pada PRK tersebut.

Bagi DUN Lamag pula, calon BN ialah Mohd Ismail Ayob dan Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan.

PRK tersebut diadakan selepas Allahyarham yang berusia 66 tahun meninggal dunia pada 5 Disember lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast