KUALA LUMPUR – Para pelatih baharu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang melapor diri di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang semalam memulakan sesi persekolahan Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gambang hari ini.
Barisan 39 orang Pelatih AMD Generasi 2013 itu merupakan pengambilan baharu pertama selepas NFDP diambil alih dari segi teknikal oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang baharu.

“Sesi taklimat bersama ibu bapa oleh pihak sekolah turut diadakan dengan dihadiri bersama oleh ketua jurulatih skuad AMD B-13, Hassan Sazali Waras; penolong ketua jurulatih, Fadzli Saari dan Fauzi Kassim serta jurulatih penjaga gol, Firdaus Mohamad,” demikian menurut kenyataan di laman sosial Facebook Football Association of Malaysia hari ini.
Secara keseluruhan, AMD menghimpunkan sejumlah 198 orang pelatih bagi tahun ini dengan para pelatih berusia 13, 14 dan 15 tahun belajar di SMK Gambang manakala pelatih berusia 16 dan 17 tahun belajar di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Gambang. – MalaysiaGazette
















