KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit simen menunjukkan peningkatan pada Disember 2025, iaitu antara 1.2 peratus sehingga 3.2 peratus berbanding bulan lepas.

Peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini telah direkodkan di Terengganu & Kelantan (3.2%) diikuti dengan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (1.8%) dan Pahang (1.6%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit pasir mencatatkan sedikit peningkatan pada Disember 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1 peratus hingga 4.8 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Indeks harga seunit besi menunjukkan peningkatan kecil pada Disember 2025, iaitu antara 0.1 peratus sehingga 1.0 peratus berbanding bulan lepas.

Tambahan daripada itu, indeks harga keratan keluli & logam turut mencatatkan peningkatan pada Disember 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1 peratus hingga 1.1 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Perbandingan tahunan untuk tempoh Disember 2024 dan Disember 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 3.2 peratus hingga negatif 7.1 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Sibu (-7.1%) dan diikuti dengan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-6.8%) dan Kota Kinabalu (-6.5%).

Selain daripada itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 2.0 peratus hingga 6.1 peratus pada Disember 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Pahang (6.1%), diikuti dengan Tawau (5.4%) dan Sandakan (5.0%).

Mohd. Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus, dengan purata harga RM3,512.10 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (November 2025: RM3,509.60 per tan metrik).

Purata harga bagi simen Ordinary Portland pula telah mencatatkan peningkatan (0.8%) dengan purata harga RM24.55 per 50 kg sekarung berbanding November 2025 (RM24.35 per 50 kg sekarung).

Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan kecil antara 0.1 peratus hingga 2.0 peratus pada bulan Disember 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan ini dicatatkan bagi semua kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia.

IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus hingga 0.9 peratus bagi hampir semua kategori bangunan pada Disember 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Perbandingan bulan ke bulan IKB termasuk bar keluli di Sarawak merekodkan penurunan kecil antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.2 peratus bagi beberapa kategori bangunan di Sibu.

Manakala, IKB bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast