Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang anggota polis menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan seorang anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara kerana disyaki menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling di sini.

Pemangku Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kejadian tersebut tular dalam media sosial dan siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 6.50 petang semalam.

“Individu yang terlibat dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di IPD Johor Bahru Utara dan sedang menjalani cuti semasa kejadian berlaku.

“Setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporanĀ  berkaitan kejadian tersebut. Bagaimanapun pihak polis telah mengenal pasti mangsa yang terlibat dan sedang berusaha mengesan mangsa bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Pihaknya memandang serius sebarang dakwaan kesalahan atau salah lalu yang melibatkan pegawai atau anggota polis.

Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang telah ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi isu ini dan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat amat dialu-alukan.

“Pihak polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast