Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Canselor dan Presiden HELP Universiti, Datuk Dr Paul Chan bergambar selepas menandatangani MOU pada Majlis Menandatangani MOU antara SPRM bersama HELP Universiti dan Pelancaran Forum Tadbir Urus dan Siri Intergriti 2026 di M Resort Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 JANUARI 2026

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik tindakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk melaksanakan rombakan pelan antirasuah secara besar-besaran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia kerana isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus serta perolehan dalam MINDEF adalah isu besar membabitkan pegawai tertinggi dan angkatan tentera.

Tegasnya lagi, tahap keseriusan isu berkenaan turut bergantung kepada kedudukan serta peranan pihak yang terlibat.

“Itu bagus dan saya alu-alukannya, secara peribadi saya menunggu kenyataan tersebut daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (rombakan tentera).

“Peranan kami pula selepas ini, saya akan mengadakan kunjungan hormat bersama beliau dan Ketua Setiausaha MINDEF dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih banyak isu perolehan MINDEF yang perlu kita teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) SPRM bersama Help Universiti di sini hari ini.

Jelas Azam lagi, skala masalah tersebut adalah serius kerana ia menjadi perhatian masyarakat yang perlu dilihat dengan teliti berdasarkan kes-kes yang disiasat sekarang.

Semalam media melaporkan, MINDEF akan melaksanakan rombakan pelan anti rasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa dalam sistem pertahanan nasional tahun ini.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.

Katanya, perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026, antaranya berkaitan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast