KUALA LUMPUR – UMNO tidak memerlukan satu lagi sayap kerana dibimbangi hanya akan mempercepatkan kekeliruan di dalam parti, bukan memacu kemenangan.
Ketua Penerangan UMNO Damansara, Mohamad Fakhzan Md Noor berkata, cadangan mewujudkan `sayap digital’ mungkin kedengaran menarik, segar dan seolah-olah progresif.
Namun, jelasnya, di dalam politik, idea yang kelihatan moden tidak semestinya tepat, sebaliknya hanya jawapan struktural kepada masalah yang sebenarnya bersifat pemikiran dan strategi.
Tambah beliau, masalah sebenar UMNO bukan ketiadaan cabang, tetapi ketiadaan keupayaan digital yang bersepadu dan lebih penting, ketiadaan naratif yang jelas, konsisten dan berulang.

“Cadangan “sayap digital” lahir daripada kekeliruan klasik dalam organisasi besar, apabila prestasi lemah, kita cenderung menambah struktur, bukan memperbaiki fungsi.
“Membina sayap digital ibarat menubuhkan “sayap mikrofon” kerana suara tidak kedengaran, sedangkan masalahnya ialah apa yang hendak diucapkan, bukan mikrofon itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, parti itu perlu mewujudkan satu sayap digital bagi membantu parti dalam mengkoordinasi jentera, menggerakkan kempen dan menangani persepsi di media sosial.
Tambah Mohamad Fakhzan, jika benar UMNO mahu serius dalam politik digital, maka keutamaan sepatutnya ialah menubuhkan `war room’ digital berpusat, bukan sayap baharu.
Ujarnya, war room itu berfungsi membaca sentimen, bukan perasaan sendiri, tetapi data sebenar media sosial, isu harian, emosi pengundi bandar dan luar bandar.
Selain itu, jelasnya, war room itu juga bagi menghasilkan kandungan teras, talking points, video pendek, grafik, dan hujah balas serta mengawal disiplin mesej, supaya tiada pemimpin atau jentera yang menembak kaki sendiri.
“Kesilapan besar UMNO selama ini ialah menganggap semua orang mesti kreatif, strategik dan pereka naratif, tetapi hakikatnya, tidak perlu.
“Akar umbi UMNO sangat kuat dalam satu perkara iaitu kepercayaan, kesetiaan dan rangkaian sosial sebenar.
“Tugas mereka bukan mencipta naratif, tetapi menyebarkan naratif yang betul, pada masa yang betul, dengan bahasa yang difahami komuniti mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















