KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengakui diselubungi emosi apabila kembali menghadiri Perhimpunan Agung UMNO selepas tiga tahun dipecat daripada parti itu.
Meskipun enggan mengulas lanjut mengenai hala tuju politiknya selepas ini, Khairy yang lebih dikenali dengan panggilan KJ berkata, beliau mengharapkan perkembangan yang baik akan menyusul.
Menurut Khairy, kehadirannya ke perhimpunan kali ini amat bermakna dan menyentuh perasaan.
“Hari ini merupakan hari yang sangat emosional bagi saya kerana dapat kembali ke perhimpunan parti saya. Insya-Allah, perkara-perkara yang baik akan menyusul selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ini merupakan kehadiran pertama Khairy ke Perhimpunan Agung UMNO sejak beliau dipecat daripada parti itu pada 2023 atas dakwaan memperlekeh serta mensabotaj kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, sejak Oktober lalu, Khairy dilaporkan berkemungkinan menyertai semula UMNO selepas dikatakan mendapat ‘restu’ daripada Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam, Ahmad Zahid ketika sesi taklimat Presiden UMNO bersama perwakilan dilaporkan menegaskan, keperluan parti untuk lebih terbuka dalam menerima semula pemimpin dan ahli UMNO yang telah meninggalkan perjuangan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat mandat serta persetujuan daripada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO.
Menurut Khairy, kehadiran beliau pada PAU 2025 hari ini setelah mendapat keizinan daripada Zahid selain jemputan daripada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal kerana menjemput saya kembali untuk hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Zahid. Semalam saya bertemu beliau ketika majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak. Selepas bersalaman, saya bertanya sama ada saya dibenarkan hadir ke perhimpunan hari ini.
“Saya katakan jika Datuk Seri tidak mahu saya datang, saya tidak akan hadir. Saya hanya datang dengan keizinan beliau. Alhamdulillah, beliau berkata ‘please come’,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















