Reaksi Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika dijemput hadir pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mengesahkan Khairy Jamaluddin meminta restu daripadanya sebelum hadir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada pagi tadi.

Jelasnya, Khairy hadir atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Kebetulan KJ bertemu saya malam tadi ketika Majlis Tahlil Almarhum Tun Razak dan beliau telah meminta restu daripada saya dan saya bersetuju dia hadir,” katanya ringkas pada Perjumpaan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan Majlis Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara, di sini hari ini.

Diminta mengulas adakah Khairy akan kembali kepada parti itu, Zahid berkata ia terserah kepada permohonan.

“Itu terserah kepada permohonan yang akan kita terima” katanya lagi.

Sebagai rekod, kemunculan Khairy hari ini adalah yang pertama kali selepas dipecat pada Januari 2023.

Bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat dari UMNO ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun sejak itu, beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya kepada UMNO.

Kemudian, timbul pula desas-desus kuat mengatakan bekas Ahli Parlimen Rembau yang kini bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM itu akan kembali kepada UMNO sejak Oktober tahun lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast