Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit bawah lori selepas motosikal ditunggang kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut tersepit bawah lori selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah lori di Kilometer 9.8, Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Shafie Md Don berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 5.39 petang.

Susulan itu, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 26 kilometer.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal Honda Wave yang melanggar belakang lori jenis Scania dan mengakibatkan penunggangnya iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun tersepit.

“Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat.

Kemalangan itu menyebabkan darah mangsa banyak mengalir atas jalan dan pihaknya menggunakan hos untuk membersihkannya termasuk sisa serta serpihan kemalangan itu.

Tambah beliau, operasi tersebut selesai pukul 6.25 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast