KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan Pelan Pendidikan Baharu pada 20 Januari ini yang bakal diluncurkan oleh perdana menteri sebagai rangka strategik 10 tahun bagi memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelan itu bakal menjadi kerangka utama untuk memperkemaskan dasar, tadbir urus serta hala tuju pendidikan tinggi agar selari dengan perubahan landskap global dan keperluan masa depan.
Menurutnya, pelan itu menjadi sebahagian daripada gagasan besar reformasi pendidikan negara yang merangkumi keseluruhan rantaian pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga pendidikan tinggi.
“Jadi terdapat dua pelan besar bakal diluncurkan nanti dan itu akan memberikan satu gagasan baru akan membawa satu gagasan baharu pendidikan tinggi negara, selari dengan perkembangan teknologi, pendigitalan serta keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pelaksanaan pelan berkenaan akan melibatkan kerjasama rapat antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan kesinambungan dasar yang lebih tersusun dan berkesan.
Pelancaran pelan tersebut dijangka menjadi titik tolak kepada pembaharuan menyeluruh pendidikan tinggi negara dengan penekanan terhadap akses saksama, kualiti pembelajaran dan kebolehpasaran graduan.
Tambah Zambry, tindakan tersebut bagi menangani isu pengambilan pelajar termasuk kes melibatkan calon yang berjaya tetapi tidak dapat memasuki institusi pengajian tinggi.
“Kita tidak mahu kementerian berada di satu pihak dan rakyat berada di pihak lain, sebab pendekatan kita (kementerian) ialah pastikan setiap permasalah rakyat dapat ditangani, termasuk soal pengambilan pelajar yang layak tetapi tidak dapat masuk ke universiti, sebagai contoh.
“Kita akan pastikan supaya mereka yang berada di situ dapat masuk ke belajar ke universiti. Saya tidak mahu atas alasan disebabkan oleh kemiskinan keluarga mereka tidak dapat untuk melanjutkan belajar. Jadi pelbagai langkah yang kita akan laksanakan,” katanya.
Tambah Zambry, tindakan tersebut bagi menangani isu pengambilan pelajar termasuk kes melibatkan calon yang berjaya tetapi tidak dapat memasuki institusi pengajian tinggi. – MalaysiaGazette
















