Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sesi penggulungan pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
mengingatkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya menjaga tutur kata dan mengelakkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan ahli UMNO.

Naib Presiden UMNO itu menegaskan, parti itu tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti lain apatah lagi mengganggu parti mereka.

Menurut beliau, kesabaran dan tolak ansur UMNO mempunyai batas dan parti itu tidak akan berdiam diri sekiranya dihina atau diserang.

“UMNO tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti lain. Kami tidak ganggu rumah kamu dan jangan sesekali cuba masuk dan rosakkan rumah kami.

“Jika orang buat baik dengan kita, kita juga boleh berbuat baik tetapi jika ada yang mahu berbuat jahat, kita juga tahu membalasnya,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy menegaskan, perjuangan menuntut keadilan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak kekal menjadi pendirian beliau sejak tiga tahun lalu.

Beliau menyuarakan penghargaan terhadap keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merayu ihsan Yang di-Pertuan Agong agar bekas Perdana Menteri itu dapat kembali bersama keluarga dan parti.

Katanya, suara itu bukan sekadar sebagai pemimpin UMNO tetapi sebagai anak jati Pahang yang memahami emosi dan kesetiaan rakyat terhadap Najib yang disifatkannya sebagai soal keadilan dan kemanusiaan bukan kepentingan individu semata-mata.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengingatkan ahli agar mengekalkan perpaduan dalaman parti sambil menegaskan UMNO perlu bergerak sebagai satu keluarga besar dengan matlamat utama untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Beliau memberi amaran perbalahan dalaman dan sikap mengadu domba hanya akan membuka ruang kepada musuh untuk merampas kerusi UMNO seperti yang berlaku dalam pilihan raya lalu.

Sehubungan itu, Wan Rosdy menyeru seluruh sayap parti memainkan peranan masing-masing dengan Puteri UMNO terus menawan hati pengundi sebagai wajah masa depan parti, Pemuda membawa suara generasi muda manakala Wanita UMNO memperkukuh gerak kerja akar umbi sebagai tulang belakang jentera parti.

“Kalau kita mahu menang, kita mesti utamakan parti dan bukan kepentingan diri sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast