KUALA LUMPUR – Kesatuan antara parti-parti yang didominasi umat Islam mesti dijadikan agenda utama lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Disebabkan itu, kata Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, Pas menegaskan sejak awal yang mana Perikatan Nasional (PN) perlu diperkukuh manakala Muafakat Nasional (MN) wajar dibina semula.
Menurutnya, untuk melangkah ke hadapan, umat Islam tidak boleh lagi membina kefahaman dan gerakan Islam dalam kepompong parti semata-mata.
Sebaliknya pintu perlu dibuka seluas-luasnya untuk menerima titik persamaan dan pada masa sama mengetepikan perbezaan yang hanya melemahkan ukhuwah serta melambatkan kemenangan.
“Kita berparti sebagai wasilah perjuangan namun parti tidak boleh menjadi tembok yang memisahkan kita daripada muslim yang lain.
“Ini kerana tiada mana-mana parti yang diizinkan Allah untuk menghimpunkan seluruh umat Islam berada di bawah satu bumbung yang sama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah beliau, asas persaudaraan umat Islam dibina di atas perkara-perkara besar yang menyatukan bukan pada perbezaan kecil yang sering diperdebatkan.
Jelasnya, ia titik persamaan yang sepatutnya menjadi neraca utama untuk mentautkan hati-hati umat Islam, membina kepercayaan serta mengukuhkan saf atau barisan.
“Maka, agenda kita bukan lagi sekadar kemenangan parti, tetapi kemenangan bersama sebagai satu ummah,” katanya.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 berkata, parti itu akan melaksanakan kolaborasi agung melibatkan semua parti politik Melayu-Islam bagi menjalin kerjasama ke arah penyatuan dari segi pemikiran dan gerak kerja khususnya dalam menterjemahkan agenda Melayu-Islam. – MalaysiaGazette
















