Anthony Loke

KLANG – Setiausaha Agung DAP membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa wujudnya ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam DAP, dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas dan bersifat manipulatif.

Loke menegaskan, DAP kekal sebagai satu pasukan dan tidak pernah beroperasi dengan mana-mana kumpulan dalaman seperti didakwa.

Menurut beliau, dakwaan kononnya beliau sendiri memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid adalah tidak benar dan disifatkan sebagai tidak masuk akal.

“Adakah saya nampak bodoh? Cerita tentang parti saya sendiri kepada orang luar. Adakah ini logik sama sekali? Saya nafikan sekeras-kerasnya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025, di sini hari ini.

Loke turut mengingatkan para perwakilan agar tidak terperangkap dengan permainan politik lama yang bertujuan memecah-belahkan parti tersebut.

“Kepada semua perwakilan, jangan termakan dengan dakwaan seperti ini. Ini cara lama berpolitik ‘divide and rule’ ala Machiavelli yang bertujuan menimbulkan keresahan dan curiga dalam kalangan kita,” tegasnya.

Ketegasan Loke itu disambut dengan tepukan gemuruh pada perwakilan DAP.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa pelbagai kenyataan yang bercanggah daripada kepimpinan utama DAP berpunca daripada kewujudan ‘Team B’ dalam parti itu.

Ahmad Zahid mendakwa perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Loke kepadanya.

“Betul (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa… yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.

“Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast