KUALA LUMPUR – Rayuan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda untuk mengetepikan perintah supaya membayar RM5 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, Selasa ini.
Keputusan dijadual disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah (kini Hakim Besar Malaya) yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy selepas mendengar penghujahan pihak-pihak pada 9 Oktober tahun lalu.
Mereka selesai mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan dan peguam-peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya manakala Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Abdul Razak.
Kerajaan dan Abdul Razak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember 2022 yang memerintahkan mereka membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am dan teladan selepas membenarkan tuntutan saman keluarga itu terhadap empat pihak.
Selain kerajaan dan Abdul Razak, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar membayar ganti rugi sama.
Hakim juga memberikan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman, dikira dari tarikh pemfailan tuntutan mahkamah sehingga penyelesaian penuh, dan memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos RM25,000 setiap seorang.
Pada prosiding tersebut, Azilah dan Sirul bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan.
Dalam hujahan rayuan terhadap tanggungan dan kuantum, Nik Mohd. Noor menyatakan, hakim bicara terkhilaf kerana tidak membuat pembahagian tanggungan ketika memutuskan ganti rugi terhadap plaintif.
Hujah beliau, Azilah dan Sirul bukan dalam tugasan rasmi manakala tiada autoriti diberikan oleh kerajaan untuk membunuh Altantuya.
Hujah beliau berhubung kuantum, jumlah ganti rugi RM5 juta yang diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi terlalu tinggi dan pihaknya mencadangkan ganti rugi munasabah berjumlah RM1.38 juta diberikan kepada plaintif.
Katanya, hakim bicara tersalah arah dari segi undang-undang apabila gagal membezakan liabiliti peribadi setiap responden semasa memberikan ganti rugi secara global berjumlah RM5 juta.
Nik Mohd. Noor selanjutnya menghujahkan, tuntutan saman itu tidak memplidkan terhadap kehilangan harta, sebaliknya hanya menyentuh mengenai kehilangan tanggungan.
Katanya, keluarga model itu menyatakan, Altantuya meninggal dunia pada 2006 ketika berumur 28 tahun dengan pendapatan bulanan RM6,000.
Bagaimanapun, perayu menghujahkan, tiada keterangan dikemukakan bagi membuktikan model itu berpendapatan RM6,000 melainkan hanya bekerja sambilan dan menanggung kos perubatan anaknya.
Sementara itu, Gurdial berhujah tiada bukti langsung menunjukkan responden ketiga, Abdul Razak telah mengarahkan responden pertama dan kedua, Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya.
Pada asalnya, saman itu difailkan bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.
Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan dikeluarkan daripada senarai plaintif. – MalaysiaGazette















